Judul : MEMENANGI PERANG MEDIA MENJELANG PILIHAN RAYA
link : MEMENANGI PERANG MEDIA MENJELANG PILIHAN RAYA
MEMENANGI PERANG MEDIA MENJELANG PILIHAN RAYA
PADA 15 Mei, 2013, sepuluh hari selepas pilihan raya umum, dua syarikat bergabung membentuk entiti besar dalam industri pengiklanan sosial. Lima bulan sesudah itu, entiti tersebut muncul dengan nama Rev Asia. Industri pengiklanan digital pun bertepuk sakan mengucapkan tahniah.
Rev Asia memiliki beberapa penerbitan yang mempunyai capaian hebat di media sosial – seperti OhBulan, KongsiResipi, SirapLimau, ViralCham, Rojaklah, JuiceOnline (sekadar menyebut beberapa nama) – selain Says sebagai portal kurator berita dan bahan online dengan capaian mencecah 2.5 juta setiap bulan.
Pada 8 Mei, 2017 Rev Asia dibeli secara borong oleh Media Prima Berhad. Pengambilalihan bernilai RM105 juta itu melibatkan pembelian 15.8 juta saham Rev Asia Holdings Sdn Bhd oleh anak syarikat Media Prima, Media Prima Digital Sdn Bhd.
Media Prima Berhad, seperti yang kita semua tahu memiliki capaian media terbesar dalam negara.
Ia memiliki stesyen televisyen, radio, akhbar dan juga syarikat pengiklanan. Ya, syarikat Big Tree yang menguruskan papan iklan gergasi itu semuanya milik Media Prima; selain TV3, TV9, 8TV, NTV7, Harian Metro, New Straits Times, Berita Harian, Fly FM, Hot FM dan Kool FM.
Pada 17 Mei, 2017, Says menyiarkan sebuah rencana bertajuk “20 Times Najib Proved That He Could Totally Become A Food Blogger” (20 kali Najib membuktikan beliau boleh jadi blogger makanan)
Nada rencana ini begitu berbeza sekali dengan beberapa rencana Says sebelum ini, antara lain – 7 Things Muhyiddin Said Recently That Reveal How Shaky Umno’s Future Is (Tujuh perkara diperkatakan Muhyiddin yang mendedahkan betapa goyahnya masa depan Umno) dan 5 New Videos By WSJ That Simplify 1MDB Scandal Issues In 48 Seconds (Lima video baru oleh WSJ mempermudahkan isu skandal 1MDB dalam masa 48 saat).
Pasca Media Prima, Says kelihatan memainkan peranan untuk menampilkan sisi peribadi Perdana Menteri Najib Razak yang gemar mengambil gambar makanannya. Tugas menampilkan sisi “manusia” Najib Razak ini tidak akan mampu dilakukan mana-mana portal media yang lain, selain Says.
Cuba kalau contohnya Buletin Utama menyiarkan footage perdana menteri mengambil gambar makanan, atau sedang bersenam dan bersukan, pastilah ramai akan maki TV3 sebagai alat propaganda parti pemerintah yang cuba menampilkan Najib sebagai comel, hip dan trendy.
Di sini bermulanya perbahasan mengenai penguasaan ke atas media massa, baik daripada segi kapital atau kawalan. Orang yang mempunyai kuasa ke atas media ialah orang yang memegang pengaruh maklumat dan tindak tanduk masyarakat berdasarkan maklumat yang mereka terima. Ini seni mengolah persetujuan. Tambah penting memandangkan kita begitu hampir dengan pilihan raya.
Penguasaan parti pemerintah ke atas media, bermakna media tidak bebas melaporkan dan menyiar apa yang ia rasakan perlu untuk dijamah audiensnya, tetapi menyiarkan apa yang diarahkan tuan punya dan penguasanya.
Ini sebabnya kita sudah jarang menonton Buletin Utama (contohnya) kerana kita loya dengan propaganda yang disiarkan secara berat sebelah tanpa hak menjawab daripada pihak lain. Padahal kita tahu hakikatnya jauh berbeza daripada apa yang dilaporkan.
Ini juga sebabnya kenapa akhbar yang membawa mesej politik Umno juga tidak lagi menjadi bacaan pilihan ramai orang yang menyedari Utusan Malaysia (contohnya) ialah akhbar lidah rasmi Umno dan berperanan menyebarkan maklumat yang dikehendaki pemerintah.
Ini zaman di mana media adalah king-maker politik dunia. Siapa memegang media, dia juara, kerana kita semua percaya kepada media. Meski menipu pun kita tidak kisah, kerana tanggungjawab memeriksa kesahihan itu kita pindahkan kepada media. Apa yang media suap, itulah yang kita telan.
Kalau pensyarah bijak pandai baca buku Hannah Yeoh pun mendakwa boleh terpengaruh sehingga mengkagumi “Tuhan Hannah Yeoh”, apalah sangat kita rakyat biasa. Mujurlah dia tak baca Harry Potter, mahu dia cuba terbang dengan penyapu. Tapi itu cerita lain. Cerita hari ini ialah masyarakat bergantung kepada media untuk mencari tahu, dan masyarakat cepat percaya tanpa banyak usul periksa.
Contoh paling mudah ialah insiden bertumbuk di acara townhall TN50 baru saja beberapa hari lalu yang memperlihatkan seorang pelakon komedi mengasari seorang penerbit.
Kuasa media tradisional memastikan siaran langsung acara itu merakamkan aksi kekasaran tersebut. Kuasa itu kemudiannya dipindahkan ke media sosial untuk sebaran dan spekulasi tentang kebenaran. Kuasa media arus perdana kemudiannya digunakan untuk membingkai insiden tersebut sebagai perdamaian atas arahan perdana menteri.
Media membingkai insiden yang kelihatan seperti lakonan di acara yang dihadiri pelakon dan anak seni, sebagai kecelaruan yang berjaya diselesaikan oleh Najib Media sosial yang menyimpang pula membingkai insiden itu sebagai memperlihatkan kebiadaban seorang penerbit filem Cina, yang menerima habuannya di tangan seorang hero Melayu.
Permainan media dalam kerja mengolah persetujuan umum menjelang pilihan raya ialah satu sebab kenapa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menuntut supaya tempoh kempen dilanjutkan dan akses media diberikan secara adil kepada semua pihak yang bertanding.
Cuba bayangkan kalau calon Pakatan Harapan muncul di kaca televisyen dengan tawaran dan persoalan masing-masing terhadap pihak lawan. Atau cuba bayangkan kalau Dr Mahathir Mohamad muncul di TV3, berbahas dengan Najib (yang hampir-hampir terjadi). Alangkah rancaknya demokrasi Malaysia.
Tetapi itulah. Kalau semua portal habis dibeli Media Prima – tuan punya TV3 – celah mana kita akan mungkin ketemukan kebenaran dan kebebasan? – 20 Mei, 2017.
– http://ift.tt/2pAR1dR
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rBsFO1
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Demikianlah Artikel MEMENANGI PERANG MEDIA MENJELANG PILIHAN RAYA
Anda sekarang membaca artikel MEMENANGI PERANG MEDIA MENJELANG PILIHAN RAYA dengan alamat link https://malaysiaonthehome.blogspot.com/2017/05/memenangi-perang-media-menjelang.html
0 Response to "MEMENANGI PERANG MEDIA MENJELANG PILIHAN RAYA"
Catat Ulasan