Judul : Teater Jenin hiburkan penonton dengan cara sendiri
link : Teater Jenin hiburkan penonton dengan cara sendiri
Teater Jenin hiburkan penonton dengan cara sendiri
FAKULTI Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) sekali lagi tampil dengan pementasan menarik menerusi teater eksperimen berjudul Jenin di Panggung Eksperimen baru-baru ini.
Pementasan itu juga melengkapkan penilaian subjek bagi 13 pelajar Ijazah Sarjana Muda Teater tahun satu, di mana selain berlakon mereka turut diberi pendedahan menguruskan produksi baik dari aspek artistik mahupun pengurusan produksi.
Jenin merupakan karya menyaksikan kolaborasi idea di antara pelajar dinilai bersama pembimbing yang juga pengarahnya, Iefiz Alaudin.
Sesuai dengan teater eksperimen, naskhah Jenin tampil dengan jalan cerita cukup menarik dan menghiburkan menerusi perjalanan sekumpulan remaja mengembara melalui masa demi memenuhi misi mereka.
Meskipun dipentaskan pada skala kecil dan minimalis, namun babak-babak ditunjukkan dalam pementasan ini berjaya meyakinkan penonton tentang perjalanan dilalui watak yang terlibat dalam cerita ini.
Pada awal babak, penonton diperkenalkan dengan sebuah negara bernama Aisyalam yang wujud pada zaman sebelumnya di mana ia diketuai seorang lelaki digelar Tuan Aino, di mana dia digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
Bagaimanapun, konflik berlaku apabila seluruh rakyat Aisyalam dilanda wabak misteri sehingga fizikal mereka berubah dan tidak kurang juga yang meninggal dunia sehingga mengundang kegelisahan Tuan Aino.
Prihatin dengan apa yang berlaku, Tuan Aino menawarkan ganjaran lumayan kepada sesiapa yang mampu mencari penawar wabak terbabit, namun kebanyakan daripada percubaan untuk mengubat itu telah gagal.
Bagaimanapun kemunculan sekumpulan pelajar dari zaman moden yang merentasi masa masuk ke zaman kewujudan Aisyalam mengubah segala-galanya di mana mereka secara tidak sengaja telah mengetahui punca sebenar kepada wabak tersebut berlaku.
Jenin sebuah naskhah eksperimen yang tampil dengan maksud tersirat di mana mesejnya disampaikan secara halus kepada penonton tanpa mengganggu tumpuan mereka kepada jalan cerita.
Malah ada beberapa babak yang tampil dengan kritikan sosial dan sindiran yang cukup sinis terhadap pergolakan dunia politik, ekonomi dan sosial yang sangat relevan dengan apa yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini.
Sesuatu yang menarik juga apabila penonton diperlihatkan dengan pembinaan mesin masa yang dilakukan ketika babak berlangsung dengan begitu baik malah ia berjaya meyakinkan penonton tentang apa yang mereka lakukan.
Mencantikkan lagi persembahan, setiap karakter yang terlibat terutamanya di kalangan rakyat Aisyalam tampil dengan kostum yang cukup menarik sekali gus menyerlahkan identiti mereka pada era itu.
Segmen yang menampilkan dua pencerita yang menjelaskan tentang apa yang sedang berlaku pada setiap karakter yang terlibat dilakukan dengan cukup kreatif di mana apa yang mereka sampaikan itu tidak mengganggu tumpuan penonton untuk menghayati jalan cerita.
Jenin dilihat bergerak selangkah ke depan apabila menampilkan daya kreativiti yang cukup tinggi dalam pementasan yang berlangsung selama 90 minit ini.
Meskipun dijalankan produksi pelajar yang masih amatur, namun penelitian dari aspek kualiti yang ditunjukkan dalam naskhah ini berjaya menarik perhatian penonton biasa yang hadir menyaksikan persembahan yang berlangsung selama tiga hari ini.
Simbol harapan dan cita-cita
Bagi pengarah yang juga tenaga pengajar Fakulti Teater Aswara, Iefiz Alaudin, naskhah Jenin terbentuk menerusi perbincangan dan perkongsian idea bersama 13 pelajar terlibat semenjak tiga bulan lalu.
Sebagai pembimbing, beliau mengalu-alukan malah beri kebebasan kepada pelajar untuk menampilkan idea baru dalam usaha menyuntik kelainan agar tampil berbeza dengan karya-karya pernah dipentaskan sebelum ini.
“Kita diberi masa selama 14 minggu untuk menyiapkan satu produksi yang bermula daripada kosong dan harus dibangunkan untuk menggerakkan satu naskhah baru untuk dipentaskan.
“Sebagai karya eksperimen, mesti ia bebas dan dan tak perlu bergerak daripada naskhah sedia ada sebaliknya cetuskan sesuatu idea baru yang bermula dari kosong.
“Ia bukan perkara mudah, namun menerusi kolaborasi idea secara bersama, pelajar terlibat ini berjaya beri input sangat menarik dalam penghasilan Jenin.
“Saya sebagai pembimbing mereka membantu menyusun input-input tersebut menjadi sebuah cerita,” jelas Iefiz.
Meskipun Jenin bukanlah sebuah devised play, namun penghasilan karya ini dilakukan menerusi proses devised yang nyata banyak mencetuskan idea baru dalam pembinaan naskhah ini.
“Naskhah Jenin bermula bila kebanyakan pelajar ini guna ayat ‘jika saya boleh…’ setiap kali saya bersama mereka dalam sesi perbincangan mencari idea.
“Daripada persoalan itu, timbul satu persepsi di mana sebahagian besar mereka ini mahu berasa pengalaman di dunia atau dimensi lain daripada apa yang mereka lalui sekarang ini sehingga wujud idea penciptaan mesin masa.
“Kemudian cerita dikembangkan lagi menerusi gabungan isu semasa di dalam dan luar negara yang diadun dari aspek politik, ekonomi dan sosial yang begitu dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini,” ujarnya.
Berkongsi cabaran utama dalam pementasan ini, kata Iefiz, babak pertembungan masa dalam dua era yang berbeza paling memberikan cabaran buat mereka.
“Untuk menggabungkan dua era berbeza iaitu 2017 dan1887, di mana saat pertemuan antara watak zaman moden dan watak dari zaman terdahulu merupakan cabaran besar buat kami.
“Segalanya perlu dilakukan dengan begitu teliti agar penonton percaya bahawa ada dua dunia berbeza sedang berlaku di depan mata mereka.
“Apa pun kami berjaya melakukan babak itu dengan baik menerusi bantuan teknologi dan artistik, “katanya.
Meskipun ada beberapa dialog dan babak yang dilihat agak ‘sensitif’ telah ditampilkan dalam Jenin, Iefiz selesa memberi peluang kepada penonton yang hadir untuk menilai sendiri sekali gus melihat apa yang dipaparkan itu secara positif mahupun negatif.
“Kita di Aswara bukan sahaja melahirkan pemenang, tetapi juga pejuang di mana kami memberi peluang kepada mereka untuk menyuarakan sesuatu yang mereka rasa dan lalui dalam kehidupan seharian mereka.
“Bagi saya, asalkan tak melampau dan boleh cetus sesuatu yang negatif, apa salahnya. Mereka bersuara kerana teater sememangnya wadah untuk sampaikan apa yang berlaku di sekeliling mereka dan juga orang lain.
“Sebagai pembimbing, saya cuba bantu mereka sebaik mungkin sebab teater itu bukan sekadar lakonan, tetapi apa yang lebih penting isi cerita atau mesej cuba disampaikan kepada penonton kerana itulah tujuan sebenar kita berteater, ” tegas Iefiz.
Secara keseluruhan, Jenin cuba menyampaikan mesej kepada penonton agar jangan berhenti bermimpi dan tidak mudah berputus asa jika seseorang itu mempunyai keinginan atau kemahuan terhadap sesuatu.
“Jenin pada saya satu simbol sebuah harapan dan cita-cita yang sukar untuk diramalkan.
“Namun apa yang penting, kita kena usaha dan tak mudah berputus asa dengan apa yang dilakukan.
“Berjaya atau tidak itu perkara sebab kerana proses yang kita lalui itu sendiri banyak beri pelajaran dan pengalaman untuk kita bawa di masa depan,” katanya yang ditemui selepas pementasan berakhir.
Sementara itu, salah seorang pelakon Jenin, Muhammad Syamil Azhar, 22, mengakui menimba pengalaman cukup berbeza menerusi teater eksperimen ini.
“Apa yang menarik buat saya bila kami berkongsi idea bangunkan naskhah Jenin ini daripada kosong sehinggalah kepada apa yang dipertontonkan pada pementasan sebenar ini.
“Dari situ kami terdedah dengan proses awal yang menuntut setiap orang sama-sama terlibat beri input kepada naskhah Jenin dan bukan hanya memberi perhatian kepada lakonan atau bahagian tertentu sahaja,” katanya.
Memegang watak Idham, kata Syamel, dia perlu memperlihatkan perbezaan karakter dengan rakan-rakannya lain.
“Dalam naskhah ini, setiap watak itu ada identiti masing-masing dan disebabkan itu setiap dari kami perlu peka dengan apa yang dilakukan di pentas agar tidak mengelirukan penonton.
“Apa pun proses latihan selama dua bulan sangat membantu di mana kami berjaya tampilkan persembahan menepati apa yang dirancang sebelum ini,” katanya yang berhasrat terlibat secara serius dalam pementasan teater luar selepas ini.
The post Teater Jenin hiburkan penonton dengan cara sendiri appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rps4Pp
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Demikianlah Artikel Teater Jenin hiburkan penonton dengan cara sendiri
Anda sekarang membaca artikel Teater Jenin hiburkan penonton dengan cara sendiri dengan alamat link https://malaysiaonthehome.blogspot.com/2017/05/teater-jenin-hiburkan-penonton-dengan.html
0 Response to "Teater Jenin hiburkan penonton dengan cara sendiri"
Catat Ulasan