Judul : Ibu Tunggal Titipkan Pendidikan Sebagai Harta Anak
link : Ibu Tunggal Titipkan Pendidikan Sebagai Harta Anak
Ibu Tunggal Titipkan Pendidikan Sebagai Harta Anak
KUALA LUMPUR – Bekerja sebagai atendan di stesen minyak selama 30 tahun demi kelangsungan hidup bukanlah sesuatu yang pernah diimpikan oleh seseorang ibu.
Tetapi bagi N.P. Dhanalakshimi, 66, itulah pekerjaannya. Sebagai ibu tunggal yang hanya berpendidikan sehingga darjah enam dan tidak mempunyai kemahiran lain, beliau tidak boleh memilih pekerjaan dan bukanlah alasan untuk berputus asa lebih-lebih lagi apabila perlu membesarkan tiga orang anak yang masih kecil.
Kerja keras anak kelahiran Banting itu nyata tidak sia-sia apabila kesemua anaknya cemerlang sejak di sekolah rendah sehingga mereka berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.
Kini beliau boleh menarik nafas lega kerana cita-citanya untuk menyekolahkan anak hingga ke peringkat tinggi telah tercapai. Anak sulungya K.Rajammal (perempuan), 35, kini selesai pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Universiti Malaya (UM). Beliau adalah murid pertama yang mendapat 7A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald, Klang.
Anak kedua, K. Sivagami (perempuan), 33, juga graduan UM dalam bidang Sains Komputer dan kini bekerja sebagai jurutera komputer di sebuah syarikat di Cyberjaya manakala anak bongsu K. Sarveshwaran (lelaki), 25, pula penuntut tahun akhir Sains Komputer di Universiti Tenaga Nasional.
GAJI HANYA BAYAR SEWA
Dhanalakshimi yang kini tinggal bersama Sarveshwaran memberitahu bahawa kedua-dua anak perempuannya telah berkahwin dan beliau mengisi masa dengan ibadat keagamaan.
Walaupun telah lapan tahun berhenti kerja, segala kenangan lalu segar dalam ingatannya malah masih terasakan keperitan hari-hari yang dilaluinya menjalani hidup setelah ditinggalkan suami pada 1992, ketika anak bongsunya berusia setahun.
Mengimbau masa dahulu, Dhanalakshimi mengakui bahawa pendapatan bulanan RM600 sememangnya tidak mencukupi untuk mereka empat beranak, namun beliau bersyukur kerana ibu dan adik lelakinya sentiasa menghulurkan bantuan.
“Gaji saya itu hanya cukup untuk membayar sewa rumah,” katanya kepada Bernama selepas menerima penghargaan pada majlis ulang tahun ke-35 Pusat Sri Murugan (SMC) di sini baru-baru ini. Beliau diberi penghargaan atas pengorbanannya membesarkan anak yang cemerlang apatah lagi Sarveshwaran yang juga bekas pelajar SMC, dan kini menjadi tutor di situ.
KEKANGAN KEWANGAN
Menceritakan selanjutnya, Dhanalakshimi mengakui memperoleh banyak pengalaman dan pengajaran daripada pelbagai gelagat manusia yang dilihatnya selama bekerja di stesen minyak itu, yang terletak di Kampung Jawa, Klang.
“Macam-macam perangai manusia. Ada yang kelakar dan ada pula yang sedih. Tapi, paling saya tak tahan apabila melihat kanak-kanak yang terpaksa bekerja sedangkan mereka sepatutnya bersekolah.
“Saya pernah lihat beberapa kanak-kanak dalam sebuah lori dan bila ditanya, rupa-rupanya mereka keluar bekerja dengan pemandu lori itu,” katanya sambil mengakui sangat terkejut ketika itu.
Membayangkan keadaan itu sekiranya berlaku pada anak-anaknya, beliau berazam untuk menyekolahkan mereka setinggi mungkin walaupun selalu menghadapi kekangan kewangan.
Menyedari betapa pentingnya pendidikan sebagai pengubah masa hadapan, Dhanalakshimi selalu berpesan kepada anaknya agar sentiasa menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
PENDIDIKAN ADALAH HARTA
Sementara itu, Sarveshwaran yang sering diundang sebagai penceramah motivasi di sekolah-sekolah menyifatkan ibunya sebagai seorang yang amat tabah dari segi mental dan fizikal demi menyara mereka tiga beradik biarpun tanpa suami di sisi.
Bercerita selanjutnya, beliau berkata ibunya bangun seawal 4.30 pagi setiap hari untuk menguruskan pelbagai kerja rumah serta memasak sebelum keluar bekerja sehingga 3.30 petang. Ada kalanya, Dhanalakshimi terpaksa bekerja sehingga 11.30 malam kerana menggantikan tugas rakan sekerja yang tidak hadir.
“Seingat saya, kami tinggal di rumah sewa selama 20 tahun, dan emak selalu mengingatkan bahawa dia tidak ada harta, hanya pendidikan menjadi harta paling penting,” tambah beliau yang sentiasa berpegang kepada pesanan itu dan berhasrat mengikut jejak kakak sulungnya untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat PhD.
“Tidak terbalas setiap ajaran, pesanan, jasa dan pengorbanan ibu untuk kami,” katanya sebelum mengakhiri perbualan. – BERNAMA
Loading...
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2re8Pv5
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Demikianlah Artikel Ibu Tunggal Titipkan Pendidikan Sebagai Harta Anak
Anda sekarang membaca artikel Ibu Tunggal Titipkan Pendidikan Sebagai Harta Anak dengan alamat link https://malaysiaonthehome.blogspot.com/2017/06/ibu-tunggal-titipkan-pendidikan-sebagai.html
0 Response to "Ibu Tunggal Titipkan Pendidikan Sebagai Harta Anak"
Catat Ulasan