Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 34, berkata, isterinya menjadi pendiam dan suka menyendiri walhal sebelum mengetahui perbuatan curangnya itu, Nur Syaleza merupakan seorang wanita yang lemah lembut, ceria dan suka tersenyum.
“Isteri saya mengetahui hubungan sulit itu semasa dia hamil tujuh bulan setelah wanita itu menceritakan kepada isteri saya melalui laman sosial Facebook apa yang pernah berlaku antara saya dan wanita berkenaan,” katanya.
Menurut bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak itu, kejadian yang berlaku pada 2009 itu menyebabkan isterinya berubah sikap sehingga pernah meracau dan melukakan tangan dan kakinya malah tidak mahu lagi bercakap dengannya dan menjadi seorang yang pemarah.
“Selepas kejadian tersebut saya masih menjalinkan hubungan de­ngan wanita itu dan semasa isteri saya dalam pantang, sekali lagi kami bertengkar setelah arwah memberitahu saya, wanita itu menceritakan kepadanya hubu­ngan sulit yang berlaku antara saya dan dia semasa isteri saya tiada di rumah,” katanya.
Ketika itu katanya, Nur Syaleza sedang berpantang di rumah ibunya di Felda Redong 1, Johor, dan enggan mengikutnya pulang ke Kuala Lumpur malah semasa bertengkar dia melihat isterinya sedang menahan kesakitan sambil memegang perut yang mempunyai bekas jahitan pembedahan melahirkan anak.
Kata Norazaman Bashah, wanita berkenaan hanya dianggap sebagai kawan dan dikenalinya semasa bersama-sama bertugas di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Dia yang merupakan saksi pertama pihak pembelaan berkata demikian semasa disoal oleh peguamnya, Shah Rizal Abdul Manan dalam perbicaraan di peringkat pembelaan yang bermula hari ini.
Norazman Bashah didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediamannya di No. 115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, antara pukul 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.
Tertuduh didakwa me­ngikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit ke­salahan.
Menurut lelaki itu, dia reda dengan perubahan sikap isterinya itu kerana tahu Nur Syaleza telah hilang kepercayaan terhadapnya akibat perbuatan curangnya bersama wani­ta lain.
Namun dia menegaskan tidak membunuh isterinya itu dan malah tiada niat untuk melakukan perbuatan sedemikian terhadap isterinya.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar semasa menyoal balas bertanya Nor­azman Bashah mengapa sebagai seorang suami yang menyayangi isteri tidak terus berusaha meme­cahkan pintu tetapi sebaliknya tertuduh makan terlebih dahulu.
Lelaki itu berkata, dia perlukan tenaga kerana penat berpuasa sepanjang hari.
Dalam pada itu, Hakim Datuk Abdul Halim Aman menegur Nor­azman Bashah yang kerap memandang peguam-peguamnya semasa disoal Rosidah.
“Saya perhatikan kamu asyik memandang peguam, dengar be­tul-betul soalan dan jawab dengan memandang saya,” tegasnya.
Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bersambung pada 17 April dan 23 April ini.