Loading...
Judul : Jamal Kena Bermalam Di Sungai Buloh, Tidak Boleh Ikat Jamin
link : Jamal Kena Bermalam Di Sungai Buloh, Tidak Boleh Ikat Jamin
Jamal Kena Bermalam Di Sungai Buloh, Tidak Boleh Ikat Jamin
KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang didakwa atas pertuduhan melarikan diri daripada tahanan polis terpaksa bermalam di Penjara Sungai Buloh hari ini selepas Mahkamah Majistret Ampang di sini tidak membenarkannya diikat jamin.
Majistret Muhammad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin dan peguam Izzat Zabir Sariff yang mewakili Jamal berhubung jaminan itu.
Terdahulu, Jamal, 48, yang menghilangkan diri sejak sebulan lalu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Sadina Ali.
Jamal didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan pihak polis atas tiga kesalahan di mana dia telah ditahan secara sah di sisi undang-undang.
Dua daripada tiga kesalahan tersebut adalah di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang telah dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pada Mei lalu manakala kesalahan di bawah Seksyen 290 Kanun sama telah dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri, di sini, antara jam 2 hingga 3 petang, 25 Mei lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Sebelum itu, Faten Hadni tidak menawarkan sebarang jaminan mengambil kira faktor tertuduh yang pernah melarikan diri ke luar negara.
"Tindakan tertuduh melarikan diri ke luar negara dianggap satu penghinaan kepada mahkamah. Tambahan lagi, dia mengetahui bahawa dirinya dikehendaki namun masih enggan memberikan kerjasama kepada polis malah terus melarikan diri ke Indonesia," katanya.
Bagaimanapun, Izzat merayu supaya anak guamnya dikat jamin atas alasan kejadian Jamal melarikan diri bukanlah tindakan yang disengajakan tetapi lebih kepada salah faham.
"Definisi lari bagi kes anak guam saya adalah tidak tepat kerana dia beranggapan proses jaminnya sudah selesai menyebabkan dia terus keluar untuk meneruskan urusan tertangguh ketika itu. Anak guam saya akan memberikan kerjasama untuk hadir pada tarikh yang ditetapkan mahkamah di masa akan datang," katanya.
Jamal yang berada di dalam kandang tertuduh memohon kepada mahkamah untuk membuat rayuan dan memohon supaya dia dibenarkan jaminan atas alasan dia telah mengalami kehidupan yang sukar selama sebulan berada di Indonesia.
"Saya kesal dengan tindakan saya melarikan diri yang sedikit sebanyak dipengaruhi keadaan perubahan politik negara selain bimbang kerana pelbagai operasi telah dilakukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mengesan saya."
"Pihak berkuasa turut menggeledah kediaman saya, menambahkan kerisauan saya sekiranya dianiaya kerajaan baru," katanya.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Datuk Razali Che Ani bersama, Faten Hadni dan Mahathir Mohd Khairuddin. Mahkamah menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes.
Pada 26 Mei lalu, media melaporkan Jamal dipercayai menghilangkan diri ketika proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang disiapkan berhubung tiga pertuduhan yang dihadapinya.
Jamal kemudian telah ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) ketika sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta Selatan pada jam 6.15 petang waktu Malaysia, 2 Julai lalu.
Bekas calon ketua pemuda UMNO itu didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor pada 5 Okt lalu dan turut disiasat atas beberapa kes lain termasuk mengikut Seksyen 34 Akta Senjata 1960. #sumber
Demikianlah Artikel Jamal Kena Bermalam Di Sungai Buloh, Tidak Boleh Ikat Jamin
Sekianlah artikel Jamal Kena Bermalam Di Sungai Buloh, Tidak Boleh Ikat Jamin kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Jamal Kena Bermalam Di Sungai Buloh, Tidak Boleh Ikat Jamin dengan alamat link https://malaysiaonthehome.blogspot.com/2018/07/jamal-kena-bermalam-di-sungai-buloh.html
0 Response to "Jamal Kena Bermalam Di Sungai Buloh, Tidak Boleh Ikat Jamin"
Catat Ulasan