Loading...
Judul : Muhammad Shafee Nafi Terima RM9.5 Juta Dari Akaun Najib !
link : Muhammad Shafee Nafi Terima RM9.5 Juta Dari Akaun Najib !
Muhammad Shafee Nafi Terima RM9.5 Juta Dari Akaun Najib !
Dalam kenyataannya, Muhammad Shafee berkata, terdapat dakwaan bahawa beliau menerima bayaran itu sebanyak dua kali iaitu RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui akaun AmIslamic Bank Berhad ketika Najib menjadi perdana menteri.
“Dua bayaran itu didakwa sebagai ganjaran untuk saya menjadi pendakwa raya dalam kes rayuan Liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
“Saya sudah menafikan tuduhan ini dan ia direkodkan dalam afidavit pada 3 Ogos 2017 dalam kes saman oleh Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saya masih mengekalkan pengakuan itu dan ia adalah benar,” katanya.
Muhammad Shafee mendakwa, bagi tujuan menjadi pendakwa dalam rayuan Liwat II itu, beliau mencadangkan kepada bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk melakukannya secara pro bono (tiada bayaran).
“Bagaimanapun Gani berkata perlu ada perjanjian dibuat antara Kerajaan Malaysia dengan saya. Saya mencadangkan RM1 sebagai bayaran untuk dipertimbangkan dan Gani pula mencadangkan RM1,000 diletakkan.
“Ini disebut dalam perjanjian bertarikh 19 Julai 2013 berhubung perlantikan saya sebagai pendakwa raya. Dokumen ini rahsia seperti yang diperuntukkan di dalamnya,” katanya.
Beliau berkata, Gani Patail dan Datuk Hanafiah Zakaria dari Jabatan Peguam Negara serta Najib mengetahui perjanjian ini bahawa secara dasarnya adalah pro bono (percuma).
“Untuk rekod, saya tidak pernah mengambil satu sen pun daripada Kerajaan Malaysia atau mana-mana pihak berhubung pembabitan saya dalam pendakwaan ketika rayuan.
“Saya tegaskan, sehingga hari ini RM1,000 itu juga tidak pernah dituntut dan ia boleh disahkan oleh Hanafiah sendiri,” katanya.
Berhubung perlantikannya, Muhammad Shafee mendakwa, Najib tidak berminat dengan idea melantiknya sebagai pendakwa melalui Fiat kerana tidak mahu menyinggung perasaan Gani.
“Malah Najib paling enggan berbuat demikian, bagaimanapun Tun Dr Mahathir Mohammad yang menegaskan mahu melantik saya sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan Anwar ini.
“Ini adalah kerana beliau (Dr Mahathir) tidak mempunyai keyakinan bahawa Jabatan Peguam Negara dapat mengendalikan rayuan secara cekap. Ini mungkin disebabkan Jabatan Peguam Negara pernah kalah dalam kes Liwat II di Mahkamah Tinggi serta di Mahkamah Persekutuan di dalam Liwat I,” katanya.
Muhammad Shafee berkata beliau dipanggil pada atau sekitar Jun atau Julai 2013 oleh Dr Mahathir melalui peguam Matthias Chang untuk menghadiri pertemuan di Yayasan Perdana, Putrajaya.
“Kemudian baru saya mengetahui bahawa Najib juga ada dijemput lebih awal untuk bertemu Dr Mahathir. Saya difahamkan bahawa beliau (Dr Mahathir) berjaya memujuk Najib untuk meyakinkan Gani melantik saya dengan cara Fiat sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan itu.
“Saya diberitahu berhubung perkara ini selepas Najib meninggalkan Yayasan Perdana oleh Dr Mahathir sendiri. Saya juga dimaklumkan Matthias bahawa perlantikan saya adalah salah satu daripada enam permintaan Dr Mahathir dan jika ia tidak ditunaikan beliau (Dr Mahathir) akan menentang Najib,” katanya.
Menurutnya dalam tempoh beberapa hari, beliau dihubungi oleh pejabat Dr Mahathir dan pejabat Perdana Menteri ketika itu supaya menemui Gani memandangkan semua sudah bersetuju dengan perlantikannya itu.
“Saya bertemu Gani dengan kehadiran Hanafiah. Perjanjian bertulis dibuat berhubung perlantikan saya. Perjanjian bertulis ini diketahui setiap individu yang mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan ini.
“Oleh itu tiada ada sebarang salah faham bahawa saya harus dibayar bayaran melebihi atau di bawah RM1,000,” katanya.
Muhammad Shafee berkata beliau berkhidmat untuk UMNO, Barisan Nasional (BN) dan perdana menteri terdahulu daripada Dr Mahathir, Datuk Seri Abdullah Badawi serta Najib.
“Ketika itu saya mewakili UMNO, BN dan kadang kala parti lain iaitu MIC dan MCA atau Gerakan. Kes yang ditugaskan kepada saya dan firma saya adalah membabitkan petisyen pilihan raya dan litigasi serius membabitkan UMNO dan BN.
“Saya masih ingat ada secara peribadi menyampaikan pendapat undang-undang yang tidak terkira berapa kali dan apabila diperlukan oleh UMNO, BN atau mana-mana parti komponennya.
“Saya memberikan bantuan ini kepada UMNO sejak awal 90-an sehingga sekarang tetapi saya tidak pernah menjadi ahli UMNO atau mana-mana parti politik lain,” katanya.
Muhammad Shafee mendakwa hubungannya dengan UMNO dan BN dan kerajaan di bawah BN adalah semata-mata sebagai peguam dan tidak lebih.
“Banyak bil membabitkan kerja saya tidak dituntut iaitu sejak zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri (sebelum ini), terutama dalam tempoh Datuk Mohamed Rahmat adalah Setiausaha Agung UMNO dan BN.
“Banyak fail yang dibuka, bagaimanapun semua kerja itu belum menerima sebarang bayaran kerana UMNO sentiasa berjanji kepada saya dan firma saya bahawa pembayaran itu akan dibuat kemudian,” katanya.
Menurutnya, sekitar September 2013, beliau berkesempatan bertemu Najib di pejabat Perdana Menteri dan ada membangkitkan berhubung bayaran itu.
“Ketika itu saya memerlukan wang untuk membeli hartanah dengan seorang sahabat yang perlu dengan segera menjualnya untuk membolehkannya membeli hartanah baru untuk keluarganya.
“Barulah Najib mengetahui buat pertama kalinya bahawa saya tidak pernah dibayar oleh UMNO untuk semua kerja sejak dari zaman Dr Mahathir.
“Beliau bertanya kepada saya berhubung bayaran terkumpul sejak awal 1990 dan saya memaklumkan bahawa ia dalam lingkungan RM20 juta,” katanya.
Muhammad Shafee mendakwa beliau tidak memerlukan jumlah penuh itu dibayar sebaliknya gembira jika Najib dapat membayar RM11 juta bagi kerja perundangan membabitkan 46 petisyen pilihan raya yang dibuatnya.
“Najib sebaliknya bersetuju untuk membayar RM9.5 juta sebagai penyelesaian dan meminta kertas kerja dibuat. Saya bersetuju dengan perkara itu. Najib boleh mengesahkan berhubung alasan pembayaran RM9.5 juta itu dibuat kepada saya.
“Saya tegaskan di sini bahawa ketika itu saya difahamkan Najib adalah orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan dana parti dan ia adalah amalan biasa. Saya pada masa itu sama sekali tidak mengetahui sumber pembayaran kepada saya oleh Najib,” katanya.
Menurutnya, kira-kira setahun lalu, beliau sudah menerangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bayaran RM9.5 juta itu.
“Bayaran itu menjadi isu kerana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), saya membawa dokumen berhubung pembayaran itu.
“Tiga minggu lalu, saya turut memberi kenyataan lanjut kepada SPRM (kepada pegawai siasatan yang berlainan) berhubung isu yang sama, dan saya juga membuat permintaan untuk berjumpa pada Selasa atau Rabu ini.
“Saya membuat keterangan di SPRM selepas mereka membekukan akaun CIMB Bank milik saya yang menerima bayaran RM9.5 juta. Pembekuan itu dibuat tanpa sebarang pemberitahuan kepada saya,” katanya.
Beliau menyatakan kebimbangan berhubung perkembangan terbaru iaitu afidavit yang diikrarkan oleh Siti Rahayu Mohd Mumazaini yang sebelum ini adalah peguam dan kini berkhidmat di Pejabat Peguam Negara.
“Saya bimbang tindakan itu disengajakan dan membenarkan orang lain seperti Anwar mengambil kesempatan daripada keadaan ini serta menyalahgunakannya terhadap saya.
“Saya takut ia adalah untuk meletakkan tekanan terhadap Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap saya. Saya bimbang bahawa Pejabat Peguam Negara sedang dieksploitasi untuk menjadikan saya mangsa dan menghalang saya mempertahankan Najib dalam kesnya,” katanya. #sumber
Demikianlah Artikel Muhammad Shafee Nafi Terima RM9.5 Juta Dari Akaun Najib !
Sekianlah artikel Muhammad Shafee Nafi Terima RM9.5 Juta Dari Akaun Najib ! kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Muhammad Shafee Nafi Terima RM9.5 Juta Dari Akaun Najib ! dengan alamat link https://malaysiaonthehome.blogspot.com/2018/09/muhammad-shafee-nafi-terima-rm95-juta.html
0 Response to "Muhammad Shafee Nafi Terima RM9.5 Juta Dari Akaun Najib !"
Catat Ulasan