Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi laman sosial Telegram yang tular hari ini.
Menurut Lokman, notis serah diri itu telah dihantar kepada Ahmad Zahid pada pukul 1.45 petang tadi untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 3 petang esok.
"Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan notis serah diri untuk ditahan pada pukul 1.45 petang tadi untuk menghadirkan diri ke Ibu pejabat SPRM pukul 3.00 petang esok, 18 Oktober 2018 (Khamis).
"Presiden UMNO juga dijangka didakwa keesokkan harinya (Jumaat)," katanya melalui kiriman mesej terbaharu di akaun Telegramnya hari ini.
Lokman berkata, sehubungan itu beliau menyeru semua rakyat khususnya ahli dan kepimpinan UMNO hadir sama sebagai tanda solidariti pada pukul 9 malam ini di hadapan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan berkumpul pada pukul 8 pagi di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur.
"Jangan biarkan Presiden kita keseorangan! Korbankan hanya sehari untuk kita mempertahankan maruah UMNO yang kini cuba dirobek oleh sang penguasa.
"Hadir untuk menyatakan sokongan secara aman bukan merupakan satu kesalahan, usah gentar untuk turun," katanya yang memberitahu akan hadir dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren.
Sementara itu, Sumber SPRM ketika dihubungi mengesahkan maklumat berhubung penahanan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Pada Jumaat lalu, akhbar melaporkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya sebelum ini.
Ahmad Zahid telah disoal siasat oleh SPRM lebih lapan jam pada Jumaat lalu sebelum dibenarkan pulang, dan merupakan kali ketiga beliau dipanggil untuk dirakamkan keterangan.
Turut dipanggil memberi keterangan ialah anak beliau sendiri iaitu Datuk Nurulhidayah, berserta anak tiri beliau Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.
Kali pertama dan kali kedua beliau dipanggil memberi keterangan ialah pada Julai lepas. #sumber