Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Muhamad Fikri Zaharudin, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. 
Bapa mangsa, Zaharudin Mohamad, 56, berkata, anak keduanya daripada empat beradik itu menunggang motosikal jenis Modenas Pulsar 200 seorang diri sebelum terbabas sebaik tiba di tempat kejadian. 
"Dia ingin pulang untuk menghabiskan cuti semesta dari Shah Alam menuju ke rumah kami di Taman Ria, Jerantut. 
"Saya terkejut apabila dihubungi melalui telefon oleh pihak polis untuk memberitahu kejadian ini dan jenazah telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh," katanya kepada Kosmo! hari ini. 
Menurutnya, dia yang sedang bekerja sebagai kakitangan sokongan di Sekolah Kebangsaan Bandar Jerantut segera pulang dan bergegas ke Hoshas. 
"Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada awal tahun ini dan menghubunginya Isnin lalu namun dia hanya memberitahu masih berada di Shah Alam," ujarnya. 
Zaharudin memberitahu, anaknya tidak mempunyai sebarang penyakit dan dia sekeluarga reda dengan takdir Allah. 
Jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Tampak, Jerantut Feri petang ini. #sumber