Judul : Sultan Pahang Sedih Istana Nenda Di Batu 16 Jalan Pekan-Nenasi 'Hilang' Akibat Hakisan, Ditelan Laut
link : Sultan Pahang Sedih Istana Nenda Di Batu 16 Jalan Pekan-Nenasi 'Hilang' Akibat Hakisan, Ditelan Laut
Sultan Pahang Sedih Istana Nenda Di Batu 16 Jalan Pekan-Nenasi 'Hilang' Akibat Hakisan, Ditelan Laut
KUALA LUMPUR: "Setiap kali melalui Jalan Pekan-Nenasi, di Pekan, perasaan saya jadi sedih apabila teringat kenangan lama kerana di sini ada Istana Batu 16 milik Almarhum nenda saya, tetapi kini sudah 'hilang' akibat terhakis dan tenggelam dalam laut," titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Titah baginda, pada 1970-an, baginda sering mengunjungi istana itu bagi menunggang kuda, tetapi malangnya 10 tahun kemudian, tanah dan istana yang menjadi tempatnya beriadah itu hilang begitu sahaja akibat hakisan serius yang berlaku di kawasan berkenaan.
"Tanah dan istana Almarhum nenda saya di Batu 16 Jalan Pekan-Nenasi 'hilang' pada tahun 1980-an.
"Memang sedih kerana saya biasa ke sana menunggang kuda. Kini yang tinggal hanya kenangan dan hakisan yang berlaku dulu terus berlaku hingga kini yang menyebabkan jalan utama di situ semakin hampir dengan kawasan laut, malah mungkin akan hilang juga selepas ini," titah baginda kepada BH, semalam.
Media kelmarin melaporkan, Al-Sultan Abdullah bimbang dengan isu hakisan pantai yang semakin kritikal di Pahang khususnya di kawasan Padang Api-Api, di sepanjang jajaran Jalan Pekan-Nenasi, di Pekan.
Baginda bertitah, berdasarkan maklumat dan pemerhatian dilakukannya ketika menaiki helikopter dalam perjalanan ke Rompin, dianggarkan 120 hektar tanah sudah terhakis akibat hakisan laut.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menggesa kerajaan memberi perhatian serius dan bertindak segera mengatasi masalah hakisan itu demi keselamatan dan kepentingan rakyat.
Tangani isu hakisan
Mengulas saranan baginda itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim, berkata Kerajaan Pahang melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah memohon peruntukan bagi menangani isu hakisan pantai di Sungai Api-Api itu.
Beliau berkata, permohonan itu diserahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada Januari lalu dan kini hanya menunggu maklum balas daripada Kementerian Ekonomi berhubung status peruntukan kira-kira RM4 juta dikemukakan bagi kerja membina benteng hakisan pantai di kawasan terbabit.
Katanya, peruntukan itu amat diperlukan memandangkan hakisan yang berlaku di kawasan itu menyebabkan jarak antara kawasan pantai yang terhakis dengan jalan utama hanya kira-kira lima meter.
Sementara itu, mengulas tinjauan udara yang dilakukan, Al-Sultan Abdullah bertitah, usaha Kerajaan Pahang mahu membina benteng hakisan pantai di kawasan terbabit disifatkan hanya penyelesaian sementara dan bukannya mengatasi masalah isu kehilangan tanah ditenggelami laut itu sepenuhnya.
Sebaliknya, baginda bertitah, kerja menambak tanah di lokasi berlaku hakisan teruk itu perlu dilakukan semula kerana kehilangan tanah itu ada kaitan dengan sempadan perairan asal negara.
Susulan itu, titah baginda, kajian perlu dilakukan bagi mengenal pasti jumlah sebenar tanah yang hilang ditenggelami laut itu bagi membolehkan usaha menambun tanah dilakukan dengan lebih tepat.
"Tanah yang terhakis itu perlu ditambun semula kerana ini ada kaitan dengan kawasan sempadan perairan asal negara.
"Ini kerana sempadan asal tanah itu sebenarnya lebih jauh lagi jika dibandingkan sekarang selepas kawasan itu terhakis.
"Bagaimanapun, jika tambakan tanah mahu dibuat, kita kena bina pemecah ombak terlebih dulu bagi memastikan hakisan tidak berulang lagi di kawasan berkenaan yang akhirnya terus merugikan negara," katanya. #BHARIAN
Demikianlah Artikel Sultan Pahang Sedih Istana Nenda Di Batu 16 Jalan Pekan-Nenasi 'Hilang' Akibat Hakisan, Ditelan Laut
Anda sekarang membaca artikel Sultan Pahang Sedih Istana Nenda Di Batu 16 Jalan Pekan-Nenasi 'Hilang' Akibat Hakisan, Ditelan Laut dengan alamat link https://malaysiaonthehome.blogspot.com/2025/03/sultan-pahang-sedih-istana-nenda-di.html
0 Response to "Sultan Pahang Sedih Istana Nenda Di Batu 16 Jalan Pekan-Nenasi 'Hilang' Akibat Hakisan, Ditelan Laut"
Catat Ulasan