Lelaki berusia 43 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 8.30 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sungai Buloh di sini. 
Mangsa yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini ditukarkan ke Hospital Sungai Buloh pada Khamis lalu. 
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak mangsa memaklumkan mengenai kematian ayahnya pada pukul 9 pagi tadi. 
"Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman kesan daripada melecur kira-kira 73 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 
Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata, anak perempuan mangsa yang turut melecur kira-kira 37 peratus kini sedang dirawat di Hospital Selayang sejak Isnin lalu. 
Kosmo! Online pada 4 Oktober lalu melaporkan seorang bapa dan anak perempuannya melecur masing-masing 57 dan 37 peratus selepas mesin pengering pakaian sebuah kedai dobi di Jalan Johan Setia secara tiba-tiba meletup .
Lelaki berkenaan yang berusia 43 tahun dan anaknya berumur 14 tahun yang melecur pada beberapa bahagian badan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
Shamsul Amar berkata, letupan dipercayai berlaku selepas mangsa menekan butang “START” mesin pengering, yang secara tiba-tiba meletup dan menyebabkan dua beranak itu mengalami kebakaran pada tubuh badan. #sumber