Judul : Belanjawan Pahang 2027 Mestilah Dipastikan Bukan Sekadar Catatkan Kedudukan Kewangan Positif, Utamakan Selesai Masalah Asas Rakyat
link : Belanjawan Pahang 2027 Mestilah Dipastikan Bukan Sekadar Catatkan Kedudukan Kewangan Positif, Utamakan Selesai Masalah Asas Rakyat
Belanjawan Pahang 2027 Mestilah Dipastikan Bukan Sekadar Catatkan Kedudukan Kewangan Positif, Utamakan Selesai Masalah Asas Rakyat
KUANTAN: Belanjawan Pahang 2027 mesti dipastikan bukan sekadar mencatat kedudukan kewangan positif, sebaliknya memberi penyelesaian konkrit terhadap masalah asas rakyat termasuk gangguan bekalan air, kerosakan infrastruktur dan projek perumahan bermasalah.
Hassanuddin Salim (PN-Kuala Semantan) menegaskan demikian ketika membahaskan Belanjawan Pahang 2027 pada Persidangan Dewan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, kejayaan sesebuah belanjawan tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka hasil dan lebihan kewangan semata-mata, tetapi sejauh mana peruntukan yang disediakan mampu menyelesaikan kesulitan rakyat.
Belanjawan Pahang 2027 bertemakan ‘Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan’ mengunjurkan hasil negeri sebanyak RM1.507 bilion, perbelanjaan mengurus RM1.502 bilion dengan lebiha RM5 juta, manakala peruntukan pembangunan berjumlah RM454.4 juta.
Beliau menghargai usaha Kerajaan Negeri mengekalkan kedudukan belanjawan lebihan, namun menegaskan ukuran sebenar kejayaan ialah jumlah masalah rakyat yang berjaya diselesaikan melalui pelaksanaan dasar dan peruntukan tersebut.
Antara isu yang dibangkitkan ialah gangguan bekalan air berulang di beberapa kawasan dalam DUN Kuala Semantan dan Temerloh, khususnya akibat keadaan paip lama dan uzur yang kerap mengalami kerosakan.
Beliau memberikan contoh aduan penduduk Taman Bahagia, khususnya di Jalan Bahagia 22, yang mengalami gangguan bekalan air sebanyak 13 kali sepanjang tahun ini, termasuk kejadian pada dua hari berturut-turut.
Katanya, Kerajaan Negeri dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) perlu melaksanakan penggantian paip uzur secara berperingkat dan proaktif, bukan sekadar melakukan pembaikan setiap kali berlaku paip pecah.
Selain itu, beliau turut membangkitkan masalah jalan berlubang yang berpunca daripada kerja pembaikan paip pecah apabila penurapan semula tidak dilaksanakan dengan sempurna sehingga menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Dalam perkembangan berkaitan, projek Perumahan Makmur Paya Jejawi di Temerloh turut memerlukan perhatian serius Kerajaan Negeri berikutan kejadian banjir kilat yang berulang pada 19 Jun, 24 Julai, 25 Ogos dan 9 September 2026, selain isu kecacatan rumah serta aduan pembeli yang masih belum diselesaikan.
Beliau juga meminta Kerajaan Negeri mempercepatkan pembangunan penempatan generasi kedua Kampung Teluk Ira yang melibatkan 220 lot tanah, termasuk penyediaan kemudahan asas seperti jalan perhubungan, bekalan air dan elektrik.
Menurutnya, setakat maklumat yang diperoleh, enam rumah mendapat kelulusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), dengan tiga daripadanya telah siap sepenuhnya, manakala 24 pemohon lain masih dalam perancangan dan pemerhatian pihak berkenaan.
Beliau mempersoalkan bagaimana hasrat membantu generasi kedua memiliki rumah sendiri dapat direalisasikan sekiranya kemudahan asas masih belum disediakan, sedangkan kawasan berkenaan terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama.
Dalam aspek kebajikan pula, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memperkukuh sistem pangkalan data kebajikan bagi memastikan golongan miskin, warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan keluarga yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan.
Beliau turut mencadangkan bantuan bersasar kepada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak di institusi pengajian tinggi, selain memperluaskan latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan bantuan modal supaya rakyat dapat membina kehidupan lebih berdikari.
Menyentuh pembangunan generasi muda, beliau meminta Kerajaan Negeri memberikan perhatian terhadap kesihatan mental pelajar, termasuk mempertimbangkan pelantikan kaunselor secara khusus di Sekolah Menengah Agama Negeri bagi membantu kebajikan dan kesejahteraan emosi pelajar.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa setiap pelaburan dan pembangunan projek berskala besar di Pahang perlu memberikan manfaat langsung kepada rakyat tempatan melalui peluang pekerjaan, latihan kemahiran serta penyertaan syarikat dan usahawan tempatan dalam rantaian bekalan projek.
Hasanuddin turut menggesa Kerajaan Negeri memperkukuh ketelusan pelaksanaan Belanjawan 2027 dengan menetapkan sasaran projek, tempoh pelaksanaan dan mekanisme pemantauan yang jelas supaya rakyat dapat mengetahui perkembangan sebenar setiap peruntukan pembangunan.
Katanya, pihak pembangkang akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang konstruktif bagi memastikan setiap dasar dan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Beliau berharap Belanjawan Pahang 2027 bukan sahaja kelihatan baik di atas kertas, tetapi benar-benar dirasai manfaatnya oleh rakyat di seluruh negeri. #Harakahdaily
Demikianlah Artikel Belanjawan Pahang 2027 Mestilah Dipastikan Bukan Sekadar Catatkan Kedudukan Kewangan Positif, Utamakan Selesai Masalah Asas Rakyat
Anda sekarang membaca artikel Belanjawan Pahang 2027 Mestilah Dipastikan Bukan Sekadar Catatkan Kedudukan Kewangan Positif, Utamakan Selesai Masalah Asas Rakyat dengan alamat link https://malaysiaonthehome.blogspot.com/2026/11/belanjawan-pahang-2027-mestilah.html

0 Response to "Belanjawan Pahang 2027 Mestilah Dipastikan Bukan Sekadar Catatkan Kedudukan Kewangan Positif, Utamakan Selesai Masalah Asas Rakyat"
Catat Ulasan