Mereka yang terkorban adalah Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Datin Tai Siew Kim dan seorang lagi yang belum dipastikan identitinya.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menerima laporan mengenai kejadian yang menimpa keenam-enam warganegara Malaysia itu.
Jelasnya, mangsa yang terkorban dan enam yang lain dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara semasa gempa bumi melanda.
“Gegaran akibat gempa bumi tersebut turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali. 
“Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, sehingga kini, pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.
Menurut kenyataan itu, pihak kementerian melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka ekoran daripada insiden gempa bumi.
“Kita juga menyarankan supaya semua warganegara Malaysia yang terjejas untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian (6221) 522 4947, +62 813 8081 3036 atau 03-8887 4570 (Wisma Putra).
“Kementerian juga ingin menasihatkan supaya warganegara Malaysia melaporkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya. #sumber