Judul : Dr. Riduan Mohamad Nor: Himpunan ‘Hogoh Jelai’ Akan Membentuk Gelombang Rakyat Pahang Menjelang PRU-16
link : Dr. Riduan Mohamad Nor: Himpunan ‘Hogoh Jelai’ Akan Membentuk Gelombang Rakyat Pahang Menjelang PRU-16
Dr. Riduan Mohamad Nor: Himpunan ‘Hogoh Jelai’ Akan Membentuk Gelombang Rakyat Pahang Menjelang PRU-16
Pahang bumi nan indah, lahan tanahnya subur sehingga didatangi rakyat luar membuka tanah mencurah keringat. Mercu tandanya, sungai terpanjang dan banjaran terbesar ada di negeri ini. Penjajah Barat mengintai Pahang kerana kekayaan hasil buminya, negeri pahlawan terbilang tanah leluhur menentang penjajah; Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah dan ramai lagi anak Melayu pemberani. Negeri paling luas di Semenanjung Emas ini juga sarat dengan rangkaian FELDA serta mengalirkan sungai terpanjang yang menyimpan sejarah Pahang dalam diam.
Jarang negeri Pahang menjadi tuan rumah muktamar kecuali pada tahun 2019 dan 2024 kerana negeri ini bukanlah lubuk PAS, juga oleh kerana faktor kemudahan pengangkutan, akses dan pelbagai faktor.
Negeri yang juga kubu UMNO BN yang berpangkalan di FELDA ini juga sering menjadi tempat buangan aktivis PAS dalam dekad 1980-an. Lipis, Jerantut, Rompin, Raub antara daerah buangan popular bagi penjawat awam yang menentang kerajaan terutamanya kaum pendidik. Kawasan pedalaman ini akhirnya mula subur meranum dengan pengaruh PAS, terutamanya dengan bercambahnya pusat-pusat pendidikan Islam yang digerakkan oleh tokoh-tokoh PAS. PAS tidak mampu dipisahkan dengan agamawan dan pusat pengajian Islam sama ada yang formal ataupun yang tidak formal.
Sejarah PAS di Pahang juga menarik. Ulama dan agamawan Tanah Melayu yang berhimpun di Gunung Semanggol, Perak telah mengasaskan Hizbul Muslimin pada Mac 1948 namun umur parti Islam sangat singkat dengan pengenalan Ordinan Darurat pada Jun 1948. Ruang politik yang tidak kondusif di zaman darurat dengan penangkapan massa secara rambang telah membentur kebangkitan rakyat. Segelintir ulama telah menyertai Biro Agama Umno dan seterusnya telah menubuhkan Persatuan Islam se-Tanah Melayu pada 24 November 1951.
Dasar perjuangan PAS ialah untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British dan menegakkan sebuah pemerintahan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis. Pahang dengan karakter warganya yang tenang namun mengalir darah-darah pejuang maka dengan mudah PAS juga berkembang sehingga ke kawasan pedalaman Hulu Tembeling! Pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air kita juga dibidankan di negeri Pahang; Ishak Mohamad (Pak Sako), Ibrahim Yaakob, malah PKM pernah merekrut orang Melayu Pahang untuk menyertai Regimen ke-10. Ramai anak Pahang bergerila dalam hutan sebelum merdeka kerana mempercayai propaganda PKM untuk memerdekakan Malaya daripada penjajahan British.
PAS Pahang telah ditubuhkan pada tahun 1958 dan melebarkan sokongannya di Daerah Temerloh. Pesuruhjaya PAS Pahang yang pertama ialah Mohamed Yasin Salleh. PAS Pahang pernah dipimpin oleh kerabat Istana Pahang iaitu Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah. Setelah dua tahun memimpin PAS Pahang, Almarhum dipujuk oleh kerabat Istana Pahang untuk melepaskan jawatan penting itu kerana tidak disenangi oleh parti pemerintah saat itu.
PAS Pahang pernah melahirkan tokoh-tokoh PAS peringkat nasional seperti Tuan Guru Ahmad Baqi Osman, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, Shuhaimi Said, Cikgu Rusdi Arif, Ustazah Azizah Lebai Mat, Tengku Puji Tengku Hamid, Ustaz Idris Omar, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan lain-lain tokoh.
Pahang dalam tempoh dua dekad ini menyaksikan kebangkitan jihad ta’lim, kemunculan sekolah-sekolah agama, maahad tahfiz dan pondok moden seperti cendawan tumbuh.
Kuliah-kuliah agama di negeri ini juga sangat meriah dengan jumlah asatizah yang semakin meningkat bilangannya. PRU14 menyaksikan PAS telah memenangi lapan kerusi DUN; Jengka, Beserah, Tahan, Damak, Panching, Tanjung Lumpur, Luit dan Chenor. Manakala dalam PRU 15 pula, kerusi PAS di Pahang telah meningkat seramai 15 orang ADUN, juga dengan lima orang Ahli Parlimen. Anggota legislatif PAS juga memainkan peranan yang efisien di dalam DUN serta di medan operasi masyarakat.
Jentera PAS terus bergerak dalam mendekati masyarakat dan pengundi tanpa lelah dan jemu. Melalui pelbagai jaringan sivil bernuansa kebajikan, jentera PAS terus menyantuni ummah, contohnya dalam misi bantuan banjir 2021 dan 2020. Walaupun PAS tidak menguasai kerajaan negeri Pahang namun kelibat aktivis-aktivis PAS kelihatan di mana-mana membantu masyarakat. Dalam kondisi tanpa kuasa dan tidak mempunyai dana yang lumayan pun, pimpinan dan jentera PAS Pahang mampu mengadakan pelbagai program seperti acara kahwin perdana, membaiki rumah asnaf, sunathon, sukan anak muda, kembara dakwah dan pelbagai lagi program.
PAS Pahang pula dipimpin oleh tokoh yang merakyat, Ustaz Dato’ Rosli Abdul Jabar (ADUN Tanjung Lumpur). Pesuruhjaya PAS Pahang ini bukan sekadar mendidik rakyat di meja kuliah namun setia bersama rakyat yang mengalami kesusahan hidup. Kerja keras inilah yang menjadikan anak-anak muda Pahang meminati PAS berbanding parti yang lain.
Himpunan Hogoh Jelai minggu ini di kawasan Menteri Besar Pahang adalah manifestasi kesungguhan dan tekad para amilin PAS untuk menguasai negeri ini dalam PRU16. Masa untuk PAS Pahang membuktikan keupayaan mereka mengurus tadbir negeri dengan kepimpinan berlatar belakang teknokrat, professional serta agamawan. #Harakahdaily
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Demikianlah Artikel Dr. Riduan Mohamad Nor: Himpunan ‘Hogoh Jelai’ Akan Membentuk Gelombang Rakyat Pahang Menjelang PRU-16
Anda sekarang membaca artikel Dr. Riduan Mohamad Nor: Himpunan ‘Hogoh Jelai’ Akan Membentuk Gelombang Rakyat Pahang Menjelang PRU-16 dengan alamat link https://malaysiaonthehome.blogspot.com/2025/10/dr-riduan-mohamad-nor-himpunan-hogoh.html
0 Response to "Dr. Riduan Mohamad Nor: Himpunan ‘Hogoh Jelai’ Akan Membentuk Gelombang Rakyat Pahang Menjelang PRU-16"
Catat Ulasan